Pengubahsuaian meter serta Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) Meter elektrik

Terdapat sesetengah kes di mana segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengubahsuai meter supaya mereka membayar bil elektrik kurang daripada sepatutnya, ataupun tidak perlu membayar langsung. Perbuatan sebegini bukan sahaja tidak jujur, malah ia salah di sisi undang-undang serta boleh jadi berbahaya. Mereka yang melakukan kegiatan ini boleh disabitkan menyalahi undang-undang dibawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (pindaan 2015).

Meter elektrik lama jenis elektromagnetik biasanya boleh diusik dengan mendekatkan magnet kekal pada bahagian luar meter, menyebabkan arus pusar tidak dapat dihasilkan pada rotor, menyebabkan pergerakan ceper tersekat-sekat sekaligus menyebabkan bil menjadi lebih rendah daripada sepatutnya. Selain itu, kebanyakan meter elektromekanikal ini akan ditebuk di penutup meter dan menggunakan sebatang bendasing untuk menahan pergerakan ceper. Langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh syarikat pembekal tenaga, Tenaga Nasional Berhad adalah dengan mengarahkan penukaran kepada meter elektronik atau digital yang boleh membantu mencegah pengusikan tersebut, memandangkan bacaan meter elektronik lebih tepat serta telah diprogramkan agar merekodkan aktiviti pengusikan dan data tersebut disimpan di dalam perisian di dalam meter supaya tidak dapat digugat oleh pelaku yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat juga sesetengah kes di mana segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuat sambungan pintasan atau sambungan terus pada pendawaian sebelum meter untuk memperoleh bekalan elektrik secara percuma atau separuh dari penggunaan caj bulanan. Perbuatan tersebut juga dikenali sebagai kes usikan pepasangan meter (KUPM). Kecurian elektrik bukan sahaja salah di sisi undang-undang di Malaysia, malah berbahaya kerana pelaku terdedah kepada risiko renjatan elektrik yang boleh membawa maut serta mengakibatkan premis pengguna mengalami kabakaran.

Biasanya, meter yang dipasang oleh syarikat pembekal tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad akan dimaterikan (sil) sambungannya untuk mencegah pengguna daripada mengusik pepasangan meter. Hanya juruteknik yang dilantik sahaja yang dibenarkan untuk menanggalkan materi (sil) tersebut, sama ada untuk menggantikan meter yang rosak ataupun untuk memotong bekalan elektrik. Fius bekalan TNB dan perangkai neutral (neutral link) tidak perlu dimaterikan (sil).

Rujukan

WikiPedia: Meter elektrik http://www.cefetsc.edu.br/~petry/Ensino/Repositori... http://books.google.com/?id=Atw4AAAAMAAJ&pg=PA335 http://books.google.com/?id=OkL1Smk4uiAC&dq http://books.google.com/books?id=oyQDAAAAMBAJ&pg=R... http://www.minnkota.com/Pages/loadmana.html http://www.powermetrix.com/downloads/2009-Billingv... http://watthourmeters.com/history.html http://www.watthourmeters.com/ http://www.magnet.fsu.edu/education/tutorials/java... http://www.usbr.gov/power/data/fist/fist3_10/vol3-...